
11 Mei 2026 - Bersempena Sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia yang disambut pada 8 Mei setiap tahun, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Cabang UiTM (Kampus Puncak Alam) VAD SGR112 dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Kolej Casuarina serta Pusat Darah Negara telah menganjurkan Kempen Derma Darah di Surau Ibnu Sina dengan sokongan Unit Hal Ehwal Islam UiTM Cawangan Selangor. Program yang berlangsung selama dua hari ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada warga kampus dan masyarakat sekitar dengan kehadiran seramai 310 orang peserta.
Hasil daripada sambutan tersebut, sebanyak 232 pek darah berjaya dikumpulkan bagi membantu menambah bekalan darah negara demi keperluan pesakit di hospital seluruh negara. Penganjuran program ini bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan bekalan darah, malah menjadi platform dalam menyemarakkan semangat kemanusiaan dan kesukarelawanan. Pihak pengurusan kampus turut menzahirkan penghargaan kepada semua penderma darah, sukarelawan, petugas kesihatan serta seluruh warga kampus atas kerjasama dan komitmen yang telah diberikan dalam menjayakan program ini demi kesejahteraan masyarakat.
Sumber: Unit Komunikasi Korporat
