Majlis Perasmian Karnival Kerjaya & Keusahawanan UITM Cawangan Selangor 2023

PUNCAK ALAM, 17 Mei 2023 – Majlis perasmian Karnival Kerjaya & Keusahawanan UiTM Cawangan Selangor 2023 telah disempurnakan oleh En. Nazri Noh Pegawai Tugas-Tugas Khas Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor, mewakili YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari. Turut sama hadir di majlis perasmian tersebut adalah Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM, YBhg. Profesor Ts. Dr Salamiah Kasolang, Timbalan Rektor (Penyelidikan & Inovasi) Menjalankan Tugas-Tugas Rektor UiTM Cawangan Selangor; Profesor Ts. Dr Asmah Awal  dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Selangor merangkap Pengerusi Program, Profesor Madya Dr Badrul Isa. Majlis tersebut telah dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Selangor dengan kerjasama Bahagian Hubungan Industri, Komuniti, Alumni & Keusahawanan (iCARE) UiTM Cawangan Selangor.

Turut berlangsung pada majlis perasmian tersebut adalah simbolik penyerahan mesin layan diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR). Sebanyak lima (5) buah mesin layan diri akan diletakkan di UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil, Kampus Selayang, Kampus Sungai Buloh dan Kampus Puncak Perdana. Sejak penempatan mesin layan diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) pertama di Kampus Puncak Alam, mesin layan diri tersebut telah mendapat sambutan menggalakkan dari pelajar. Penambahan mesin layan diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di kampus-kampus UiTM Cawangan Selangor yang lain telah mendapat sambutan dan permintaan positif dari para pelajar.

Sebanyak 38 majikan telah terlibat sebagai pempamer dan lebih 120 peluang pekerjaan dan latihan industri ditawarkan kepada pelajar tahun akhir, graduan UiTM Cawangan Selangor dan komuniti setempat sempena Karnival Kerjaya & Keusahawanan UiTM Cawangan Selangor 2023 yang telah berlangsung pada 13 Mei 2023 sehingga 20 Mei 2023. 

Sumber : Nor Azyyati Md Saad (Unit Komunikasi Korporat)

Contact Us

Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor
Kampus Puncak Alam, 42300 Bandar Puncak Alam,
Selangor, Malaysia

Emel: korporatucs@uitm.edu.my

Tel: +603-3258 4000