20 Oktober 2023- Bertempat di Dewan Pavilion , UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, telah berlangsungnya Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) Kerjasama strategik antara Universiti Teknologi Mara Cawangan Selangor dan Mili Express Logistics Sdn Bhd.
Kolaborasi ini adalah selaras dengan agenda transformasi UiTM untuk melonjak institusi ini menjadi universiti bertaraf global atau Globally Renowned University, dalam bidang sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan melalui Pelan Strategik UiTM 2025.
Perjanjian termeterai bagi mewujudkan kerjasama dan memberikan peluang kepada pelajar untuk menjana pendapatan sambil belajar disamping memberikan pendedahan di dalam industri perniagaan dan pekerjaan yang sebenar serta dapat memberi banyak manfaat dalam kerjasama dan usahama ini.
Dokumen perjanjian disempurnakan oleh Ybhg. Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor dan YBrs. Encik Luqmannur Hakkim Abdul Rahman, Ketua Pengarah Eksekutif Mili Ekspress Logistics Sdn. Bhd, dan disaksikan oleh YBrs. Profesor Madya Sr. Dr. Rosmadi Ghazali dari UCS serta YBrs. Encik Muhammad Hamizan Bin Zaini dari pihak Mili Ekspress Logistics Sdn. Bhd. Turut sama dalam majlis yang penuh bermakna ini ialah YBrs. Profesor Madya Dr Badrul Isa, Timbalan Rektor (HEP) UiTM Cawangan Selangor dan barisan Jawatankuasa Eksekutif Negeri UCS.
Mili Ekspress Logistics Sdn. Bhd. menyatakan hasrat untuk memberikan latihan dan peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi UiTM khususnya, bagi menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Dengan termeterainya MoA ini, pihak UiTM Cawangan Selangor berharap pihak MILI Express Logistics Sdn. Bhd dapat membantu menambah pendapatan pelajar terutama yang memerlukan sumber kewangan melalui Program Latihan Inkubater, menyediakan peluang pekerjaan sepenuh masa, separuh masa dan latihan industri yang banyak memberi manfaat kepada pelajar-pelajar UiTM Cawangan Selangor.
Sumber : Unit Komunikasi Korporat