PUNCAK ALAM , 2 November 2023 - Menjunjung kasih Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana berkenan mencemar duli bagi merasmikan Program Jelajah Ikon Wanita Selangor yang telah diadakan di Dewan Berlian, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam.
Program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Selangor dengan kerjasama Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) ini menunjukkan sokongan positif UiTM terhadap usaha untuk memperkasakan wanita dan golongan belia, khususnya di kalangan mahasiswa.
Hadir dalam program yang penuh bermakna ini ialah YBhg. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor, YBrs. Profesor Madya Dr Badrul Isa, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar), YBhg. Profesor Ts. Dr Asmah Awal, Timbalan Rektor (Penyelidikan & Inovasi) merangkap Timbalan Yang DiPertua 1 PEWANI UiTM, serta barisan pengurusan kanan UiTM Cawangan Selangor. Pihak KWIM pula diwakili oleh YBhg. Dato' Normaziah Sheikh Mohamed, Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia, YBhg. Datin Rita Sosilawati, Wanita Ikon Selangor serta Puan Ismaniza Fahida, Wanita Ikon Kedah dan Malaysia 2022.
Dalam ucapan aluan yang disampaikan oleh YBhg. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor, beliau turut berpesan kepada mahasiswa mahasiswi UiTM agar dapat membuka hati dan minda terhadap perkongsian pengalaman wanita-wanita ikon yang telah dibawa khas bagi program ini. Semoga pelaksanaan program hari ini menjadi satu pengalaman yang bermakna dan membawa manfaat kepada mahasiswi UiTM Cawangan Selangor khasnya, dalam mengukuhkan lagi tekad untuk berusaha ke arah kehidupan yang lebih cemerlang.
Sumber: Unit Komunikasi Korporat, UiTM Cawangan Selangor