27 November 2024 – Bersempena dengan sambutan Hari Kualiti Peringkat UiTM Cawangan Selangor (UCS), satu Majlis Anugerah Cemerlang UCS 2024 telah diadakan bagi meraikan pencapaian jabatan dan warga pentadbir sepanjang tahun 2024 melalui pertandingan berasaskan kategori dan kriteria melibatkan Kumpulan Pengurusan & Profesional, Kumpulan Pelaksana dan Jabatan. Majlis ini turut dijayakan bagi menghargai warga UiTM Cawangan Selangor meliputi Kampus Puncak Alam, Kampus Puncak Perdana, Kampus Sungai Buloh, Kampus Selayang dan Kampus Dengkil yang telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada UiTM.
Hadir menyempurnakan perasmian majlis adalah YBrs. Profesor Dr. Azizah Abdullah Penolong Naib Canselor, InQKA UiTM dengan diiringi oleh YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor, serta barisan kanan pengurusan UiTM Cawangan Selangor. Tema “Inovasi Berkualiti Pemacu Kecemerlangan Organisasi” yang diketengahkan tahun ini sangat bertepatan dengan aspirasi sambutan Bulan Kualiti UiTM 2024 yang bertemakan “Kelestarian Kualiti melalui Transformasi Inovasi”. Tema ini sangat signifikan dengan matlamat untuk memacu UiTM ke arah kecemerlangan berterusan melalui amalan dan budaya kualiti serta inovasi dalam kalangan warga universiti khususnya di UCS.
Sumber: Unit Komunikasi Korporat